Friday, August 14, 2009

Belum berakhir lagi, Khalid


BAGI Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim isu penjualan arak di kedai-kedai 24 jam mungkin sudah berakhir namun Pas yang tidak mahu mengalah sudah pun menggembleng ahlinya melancarkan perang saraf.

Ahli-ahli Pas di beberapa bahagian sudah pun memasang kain rentang mengutuk DAP dan PKR kerana campur tangan dalam urusan penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam yang merampas bir dijual di kawasan ramai penduduk Islam bulan lalu.

Ini secara tidak langsung bermakna ahli Pas mengecam kerajaan campuran Pas-DAP-PKR yang membelakangkan prinsip Islam dan mengenepikan suara lapan Adun Pas.

Tentunya Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr Hassan Ali bukan saja terkejut malah kecewa dengan sikap acuh tak acuh Khalid dalam menangani isu penjualan arak secara bebas di Shah Alam diikuti tindakan Ronnie Liu, Exco bertanggungjawab bagi kerajaan tempatan yang memaksa MBSA memulangkan bir bernilai RM600 dirampas daripada sebuah kedai Seven Eleven itu.

Pada mulanya Khalid mengarahkan Hassan Ali supaya tutup mulut sebelum memutuskan penjualan boleh diteruskan dengan bersyarat. Tetapi apa lebih penting adalah bagi Khalid soal tegahan bukan keutamaan PKR kerana ia bukanlah sebuah parti berlandas atau memperjuangkan Islam.

Jika dia mengikut rentak Pas, maka apa kata Anwar Ibrahim dan konco serta penyokong Cina kerana PKR tidak boleh mengharapkan sokongan Melayu saja. Lagi pun PKR berfahaman sekular sebab itu masalah Islam bukan keutamaannya begitu juga soal bangsa kerana ia mendakwa mewakili semua bangsa bukan Melayu saja.

Itupun Pas Selangor cuma mahu segala jenis minuman arak yang diharamkan penjualan dan pembeliannya melalui Enakmen Jenayah Syariah tidak lagi dijual di kawasan majoriti penduduk Islam.

Pas Pusat melalui setiausaha agung, Mustafa Ali mengumumkan ia mahu Selangor mengikut jejak Kelantan dalam soal penjualan arak iaitu tidak melarang bukan Islam menjual dan meminumnya.

Walau apapun keputusan Pas keretakan sudah pun semakin kelihatan antaranya dengan PKR apatah lagi selepas Ronnie Liu memanggil empat pegawai MBSA mengherdik mereka kerana dituduh bertindak melulu.

Pemuda Pas yang sebelum ini menentang keras konsert anjuran PKR di Shah Alam jelas sudah diikat tangannya dalam menghadapi isu penjualan bir kali ini.

Jelas DAP dengan 13 kerusi DUN (hanya dua kurang daripada PKR) amat berkuasa di Selangor berbanding lapan saja bagi Pas dengan 20 dikuasai BN kebanyakannya Umno.

Sedang Pemuda Umno akan menganjurkan perhimpunan mengutuk parti pembangkang, Pemuda Pas membisu dan tidak berani ke depan mungkin takut dipinggirkan terus PKR dan DAP sebagaimana Adun Pas Permatang Pasir (Almarhum Hamdan Rahman) dipencilkan Lim Guan Eng di Pulau Pinang.

Lim Kit Siang pula mahu DAP, PKR dan Pas memelihara hubungan mungkin menjelang pilihan raya kecil Permatang Pasir sebelum mereka bercakaran semula mengenai pelbagai isu. DAP sendiri berlengas melihatkan kerenah segelintir penduduk Kampung Buah Pala yang berjaya memeras ugut kerajaan Guan Eng.

Jika dulu DAP dan Dr Mohd Nasir Hashim dari PKR menjadi ‘juara setinggan’ kini Guan Eng mempamerkan kebodohan dan betapa bengapnya beliau hingga dipermainkan oleh beberapa penduduk asal ‘High Chapparal’.

Hilang sudah wajah-wajah pemimpin DAP dan Dr Nasir daripada menjadi benteng bagi setinggan seperti di Kampung Buah Pala. Dulu mereka inilah yang sanggup berpanas dan berhujan bersama setinggan. Hari ini kerusi empuk dengan bilik berhawa dingin membuat semua wira setinggan itu lupa daratan dan bertukar menjadi ibarat lintah darat.  -

NASIR SUKIMAN

malaysiaaktif.com

Blogged with the Flock Browser

No comments: